|
Alkohol Halal
Masyarakat hari ini masih keliru adakah arak dan alkohol itu dua perkara yang berlainan atau perkara yang sama. Arak semestinya mengandungi alkohol tetapi alkohol tidak semestinya arak. Arak adalah arak dan alkohol adalah alkohol. Ini adalah konsep yang seharusnya difahami oleh semua pihak terutamanya umat Islam.
Dalam bahasa Arab, arak disebut sebagai khamar. Dari sudut bahasa ia memberi makna benda yang memabukkan yang diperbuat daripada jus buahan (seperti anggur) kerana ia menutup akal. Arak boleh diperbuat daripada pelbagai jenis antaranya barli, rye, jagung, gandum, beras, millet, anggur, epal, pear, tebu, agave, plum, nenas, pisang, halia, ubi kentang, lobak, ubi kayu, nira, madu, susu dan sebagainya.
Ada dua jenis arak diminum pada zaman Rasulullah dan selepasnya iaitu sebagai Khamar iaitu perahan dari buah tamar, anggur dan lain lain yang diperam. Kedua dinamakan sebagai nabiz. Nabiz adalah buahan atau hirisannya yang direndam ke dalam air sehingga rasanya meresap ke dalam air. Hukum asal nabiz adalah harus tetapi jika ia telah bertukar menjadi memabukkan maka ia dikira sebagai khamar dan haram diminum.
Jumhur fuqaha’ yang terdiri daripada Mazhab Maliki, Syafi’i dan Hambali berpendapat meminum arak yang diperbuat daripada perahan anggur, buah-buahan atau bijirin lain, banyak atau sedikit adalah haram.
Firman Allah yang bermaksud :
“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”
(Surah Al-Maa’idah : Ayat 90)
Daripada Ibnu Umar bahawa Nabi SAW bersabda, maksudnya :
“Setiap yang memabukkan adalah khamar dan setiap yang memabukkan adalah haram." (HR Muslim)

|