|
Mengapa halal?
Firman ALLAH SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 168 :
“Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.”
Dan di dalam Surah Al-Maidah ayat 1 :
“ Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu. ”
Kedua-dua ayat ini jelas menunjukkan bahawa ALLAH SWT memerintahkan umat Islam menjaga pemakanan mereka, agar diketahui kesahihan status halalnya. Malah, dalam Surah Al-Maidah ayat 88 juga diulangi perintah yang sama, seperti berikut :
“Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan ALLAH SWT kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik, dan bertaqwalah kepada ALLAH SWT yang kepada-NYA sahaja kamu beriman.”
Umat Islam umumnya mementingkan konsep halal berkaitan makanan sahaja. Ini kerana kita sejak kecil telah diajar supaya menjauhi makanan yang haram dan disediakan oleh orang bukan Islam. Namun, yang sering kita lupa adalah tentang konsep halal berkaitan perkara lain dalam kehidupan kita, selain makanan. Antaranya ialah bahan penggunaan seharian kita seperti syampu, sabun, pakaian, kasut, peralatan kerja dan sebagainya. Ini kerana, jika segala bahan tersebut mengandungi bahan atau bahagian yang dianggap najis menurut syarak, ia akan menjadi haram digunakan oleh umat Islam.
Begitu juga dengan konsep perniagaan dan perkhidmatan yang kita langgani atau sediakan. Jika di dalam organisasi kita ada melibatkan urusan berkaitan perkara atau bahan yang haram, seperti menjual arak atau menaja perjudian, ia secara tidak langsung akan mempengaruhi kehidupan kita. Gaji yang diterima akan diragui sumbernya, yang mana kemudiannya akan digunakan untuk meneruskan kehidupan kita seharian. Akhirnya, akibat ketidakpekaan kita sendiri, segala amalan ibadat kita akan terjejas.
Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab setiap individu yang mengaku dirinya Islam untuk menitikberatkan status halal dalam kehidupannya, bukan saja dari segi pemakanan malahan semua aspek urusan seharian.
|